Melayan Anak KesekolahI
Berada di alam persekolahan merupakan satu pengalaman yang mengujakan buat kanak-kanak. Ia terutama bagi mereka yang baru pertama kali merasainya.
Biasanya seawal usia empat hingga lima tahun, kebanyakan ibu bapa sudah mula menghantar anak-anak mereka ke tadika atau mengikuti kelas prasekolah.
Ia bertujuan menyediakan anak-anak dengan ilmu pengetahuan asas seperti mengenal huruf dan mempunyai pergaulan yang baik dengan rakan-rakan seusia. Perkara itu sememangnya satu tindakan yang positif dan perlu dilakukan oleh semua ibu bapa.
Bagaimanapun, dalam keghairahan menghantar anak-anak ke tadika atau kelas prasekolah, sering kali terjadi beberapa kesilapan yang dilakukan oleh ibu bapa tanpa mereka sedari.
Kesilapan utama adalah kegagalan memberi tumpuan kepada anak-anak sama ada sewaktu hendak pergi atau ketika pulang dari sekolah.
Dalam erti kata lain, ibu bapa tidak meraikan anak-anak mereka ketika mereka pergi dan pulang dari sekolah. Mungkin ia berlaku akibat kesibukan ibu bapa dalam menjalani tugas atau menganggapnya sebagai satu perkara kecil dan remeh.
Sekiranya anak-anak dibiarkan tanpa sebarang pertanyaan daripada ibu bapa selepas pulang dari sekolah, keadaan itu akan menimbulkan perkara negatif dalam diri kanak-kanak tersebut.
Mereka mungkin akan murung dan kurang ceria dengan respons yang diterima. Tindakan itu sekali gus akan menjadikan fikiran dan minda anak-anak tidak berkembang kerana sukar berkongsi pengalaman baru bersama ibu bapa. Selain itu, anak-anak juga boleh membohongi ibu bapa dengan mudah seandainya mereka tidak dipedulikan apabila pulang dari sekolah. Apatah lagi jika kepulangan mereka hanya disambut oleh orang gaji yang mungkin sudah berusia.
Bagi anak-anak prasekolah dan yang baru memasuki alam persekolahan sebenar, sudah tentu mereka mempunyai perasaan takut dan bimbang.
Justeru, pada awal persekolahan inilah ibu bapa perlu memberi perhatian serius terhadap anak-anak. Apa yang penting, setiap ibu bapa perlu memainkan peranan dengan meluangkan sedikit masa untuk meraikan pemergian dan kepulangan mereka dari sekolah.
KEGAGALAN ibu bapa memberi tumpuan kepada anak-anak sewaktu pergi dan pulang dari sekolah boleh menyebabkan anak-anak menjadi murung.
Sebagai panduan, perkara-perkara di bawah mungkin boleh dijadikan amalan harian oleh para ibu bapa dalam menjalin hubungan erat dengan anak-anak:
Kejutkan dari tidur dengan penuh kasih sayang
Jangan sesekali mengejutkan anak anda dengan nada suara yang tinggi atau kasar. Sebaliknya, sentuh badan mereka dengan lembut dan kejutkan mereka dengan sopan.
Bersabar dengan kerenah mereka
Berdepan dengan kerenah anak-anak sebelum mereka pergi ke sekolah adalah satu perkara normal. Contohnya, ketiadaan stoking, buku dan sebagainya. Sebagai ibu bapa, anda perlu mengingatkan mereka agar menyiapkan segala kelengkapan pada sebelah malam agar tidak terburu-buru keesokan harinya.
Sarapan bersama
Jika berkesempatan, ibu bapa harus meluangkan masa bersarapan bersama anak-anak. Sambil itu, anda boleh bertanyakan perkembangan mengenai persekolahan mereka.
Hantar ke muka pintu
Apabila bas atau van sekolah sudah sampai, hantar anak anda hingga ke muka pintu. Kemudian, selepas bersalaman dan mencium mereka, lambai tangan sehingga anak anda hilang dari pandangan. Sekiranya berpeluang, cuba hantar sendiri anak-anak ke sekolah. Dalam perjalanan yang singkat itu, banyak bentuk komunikasi dapat dilakukan. Selain itu, banyak proses faham memahami dapat diusahakan. Jadikan rutin seperti itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
Raikan kepulangan
Sebaik mereka pulang, tanyakan apa yang berlaku di sekolah. Pasti banyak yang akan diceritakan. Ia sekali gus membuatkan mereka merasa bahawa anda bersikap prihatin dan mengambil berat terhadap mereka.
Ingatkan tanggungjawab mereka kepada Tuhan
Sentiasa mengingatkan anak agar tidak meninggalkan solat dan melakukan perkara yang baik setiap hari. Malah, anda juga boleh mengamalkan solat berjemaah untuk mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.
SeLaMaT MeMbAcA...
Terima Kasih Sudi Follow Dan Komen Sekadar Satu Coretan